Jumaat, 29 Jun 2012

Hari Pelaporan Tahun 3, 4dan 5.

Bermula jam 9:30 pagi, para ibu bapa mula memasuki kawasan sekolah untuk berjumpa dengan Guru Kelas masing-masing bagi menandatangani Buku Laporan bagi mengetahui keputusan peperiksaan PKSR 2 anak-anak mereka. Para ibu bapa yang hadir memberikan kerjasama yang baik dalam membincangkan permasalahan anak-anak mereka. Setelah selesai pertemuan di kelas masing-masing, mereka dibenarkan membawa pulang anak mereka. Aktiviti tamat jam 12:00 tengahari.

Rabu, 27 Jun 2012

Ujian Pra Percubaan UPSR Tahun 6 2012

Semua  calon UPSR akan menduduki peperiksaan Pra Percubaan selama 3 hari berturut-turut mulai hari ini dan berakhir pada hari Jumaat. Pihak sekolah mendoakan kepada 146 calon UPSR 2012 ini agar dapat menjawab soalan Pra Percubaan dengan jayanya. Semoga segala tunjuk ajar yang telah diberikan oleh guru dapat diaplikasikan semasa peperiksaan kali ini. Sesungguhnya, nasib seseorang itu tidak akan berubah melainkan dirinya sendiri yang inginkan perubahan itu. Berubahlah kearah kebaikan kerana itulah yang sepatutnya.Sekian.

Ahad, 24 Jun 2012

Kejohanan Sukan Tahunan Kali ke-25

Masa yang ditunggu telah pun tiba. Pada hari ini 4 buah rumah sukan akan berentap habis-habisan untuk membuktikan rumah sukan yang manakah layak bergelar johan pada tahun ini dan membawa balik piala pusingan yang baru. Kejohanan Sukan pada kali ini telah dirasmikan oleh YDP PIBG SK LKTP Bukit Goh iaitu En. Mohd. Bakri bin Abdul Majid (AAP, PKC, PJK). Cuaca yang sangat baik melancarkan lagi perjalanan sukan pada hari ini. Acara sukan dimulakan seawal jam 8:00 pagi iaitu acara balapan 60m, 80m dan 100m dari setiap kategori dan kemudian berhenti seketika bagi memberi laluan kepada aktiviti perasmian dan perbarisan sekitar jam 9:00 pagi. Menyaksikan acara perbarisan, mengingatkan saya kepada zaman persekolahan saya dahulu. Meriahnya bukan main lagi. Seterusnya acara disambung sehinggalah berakhir pada jam 12:30 tengah hari. Keputusan penuh adalah seperti berikut :

      Keputusan Perbarisan  
      Johan : KUNING (37 mata)
      Naib Johan : MERAH (34 mata)
      Ke-Tiga : BIRU (29 mata)
      Ke-Empat : HIJAU (28 mata)

      Keputusan Keseluruhan
      Johan : KUNING (179 mata)
      Naib Johan : HIJAU (175 mata)
      Ke-Tiga : BIRU (155 mata)
      Ke-Empat : MERAH (147 mata)

OLAHRAGAWAN : MOHD ARIF AIMAN (BIRU)
OLAHRAGAWATI : FARAH WAHIDA (HIJAU)

Tahniah dan Syabas kepada semua pemenang. Yang tidak berjaya, tanamkan azam dan tekad tahun depan pastikan berjaya. Sekian, terima kasih.


Sabtu, 23 Jun 2012

Majlis Solat Hajat Sempena Sukan Tahunan SKBG

Alhamdulillah, majlis Solat hajat berjaya disempurnakan pada hari Sabtu di sebelah malam sebelum menjelangnya Sukan Tahunan pada eso hari. Solat Hajat ini diadakan bersempena dengan Sukan Tahunan Sekolah. Semoga diberkati dan dipermudahkan dalam segala urusan kita seharian. Setelah selesai solat, diadakan sedikit majlis barbeku yang dijayakan oleh pihak sekolah. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang menghulurkan sumbangan sehingga aktiviti barbeku ini berjaya direalisasikan. Majlis sebegini diharapkan agar dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara pihak sekolah dan PIBG terutamanya. Kamping panggang yang dihidangkan bersama pelbagai juadah lain sudah tentunya akan menjadi ingatan semua yang hadir. Sekian, terima kasih.

Rabu, 20 Jun 2012

Pra Sukan SKBG

Setelah selesai menjalankan aktiviti sukantara, aktiviti sukan sempena kejohanan sukan pada Ahad ini diteruskan lagi dengan aktiviti pra Sukan. Pra Sukan diadakan bertujuan menyelesaikan beberapa acara balapan dan juga sukaneka sebelum pada hari sukan kerana terlalu banyak acara yang akan dipertandingkan. Aktiviti ini telah dilaksanakan dengan jayanya selama 2 hari berturut-turut bermula hari Rabu di sebelah petangnya dan pada hari Khamis di sebelah pagi. Syabas kepada guru-guru yang memberikan komitmen sepanjang aktiviti pra sukan ini berlangsung. Terdapat 24 acara padang dan 8 acara sukaneka telah berjaya disempunakan melibatkan semua kategori iaitu A,B, C dan D. Keputusan markah mengikut rumah setakat pra sukan adalah seperti berikut :

            KUNING : 110 MARKAH
            BIRU : 101 MARKAH
            HIJAU : 95 MARKAH
            MERAH : 90 MARKAH

Inilah keputusan setelah pra sukan selesai, walaubagaimanapun keputusan keseluruhan akan ditentukan pada kejohanan sukan yang sebenar hujung minggu ini. Sekian dahulu untuk catatan kali ini. Terima kasih.

Isnin, 18 Jun 2012

Sukantara SKBG

Semua murid tahun 4, 5 dan 6 telah melibatkan diri secara aktif di dalam aktiviti Sukantara yang diadakan pada hari Isnin (18/06/2012) jam 3:30 petang berakhir 5:30 petang. Program Sukantara ini terdiri daripada 3 acara iaitu Lontar Peluru, Lompat Jauh dan larian 100m. Kesemua acara ini wajib disertai oleh kesemua murid tahap 2 dari ke-empat-empat buah rumah sukan iaitu Saidina Umar (Merah), Saidina Uthman (Hijau), Saidina Ali (Kuning) dan Saidina Abu Bakar (Biru). Tahniah kepada semua guru SKBG yang memberikan kerjasama yang jitu sehinggakan aktiviti yang dirancang berlangsung selama 2 hari mampu diselesaikan dalam masa sehari sahaja. Semangat kesukanan yang sebegini kita harap dapat diteruskan pada masa-masa akan datang. Berikut  dipaparkan keputusan akhir Sukantara SKBG 2012 :
         
              MERAH : 394 MATA (JOHAN)
              BIRU & HIJAU : 361 MATA (NAIB JOHAN BERSAMA)
              KUNING : 340 MATA (KETIGA)

Tak sabar rasanya untuk menantikan temasya kejohanan sukan tahunan yang akan menyusul tiba pada hujung minggu ini. Sekian, majulah sukan untuk SKBG.

Isnin, 11 Jun 2012

Kem Subjek UPSR Zon Kuantan Fasa Pertama Anjuran FELDA

Seramai 8 orang murid tahun 6 telah terpilih untuk mengikuti program Kem Subjek UPSR yang dianjurkan oleh FELDA. Kem ini diadakan selama 2 hari berakhir 12/06/2012. Program ini sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR 2012. Guru yang mengiringi program ini ialah En. Mohamad Zamri bin Imail merangkap penyelaras STF Sekolah. Kem ini diadakan di Felda Lepar Hilir 3. Peserta yang mengikuti Kem Subjek UPSR tersebut ialah :

1. Muhammad Afiq Ikmal Ahmad Tarmizi.
2. Nur Hidayah bt Abdul Samad
3. Nor Azleen bt Arafin
4. Muhammad Alief Amsyar bin Solahudin
5. Mohd Syauqi bin Mohd Syukry
6. Muhammad Izzuddin bin Saiful Hisam
7. Farah Wahida bt Khalid
8. Ainur Zulaikha bt Zulkipli

Semoga murid-murid ini boleh memanfaatkan segala ilmu dan teknik yang diperolehi dari kem ini. Sekian, terima kasih.

Catatan Popular