Isnin, 29 Oktober 2012

Program Selepas UPSR Tahun 6 : Rombongan ke Cameron Highlands

Program yang amat dinantikan oleh murid-murid tahun 6 sudah pastinya ialah lawatan ke tempat peranginan yang terkenal iaitu Cameron Highlands. Seramai 8 orang guru mengiringi murid-murid tahun 6 menaiki bas ke Cameron Highlands. Mereka bertolak seawal jam 5:00 pagi dan dijangka pulang pada keesokan harinya.

Sekian, terima kasih.

Isnin, 15 Oktober 2012

Peperiksaan PKSR 4 (Tahun 3,4,5 & 6) dan PBS (Tahun 1 & 2)

Bermula pada hari Isnin sehingga Khamis, semua murid tahun 3 hingga 6 menduduki Peperiksaan Akhir Tahun. Peperiksaan yang melibatkan kesemua matapelajaran termasuk subjek elektif seperti Kemahiran Hidup, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Pendidikan Seni Visual, Kajian Tempatan , Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Pendidikan Muzik. Manakala tahun 1 dan 2 akan menduduki penilaian Band juga melibatkan semua matapelajaran.

Sekian, untuk makluman.

Isnin, 8 Oktober 2012

Program Selepas UPSR Tahun 6 : Tema Minggu ke-4- Minggu Kebajikan

Isnin : Aktiviti Gotong-Royong Sekitar bangunan dan kawasan sekolah
Selasa : Gotong Royong Kelas Tahun 6
Rabu : Program Guruku Sayang- Murid bersama guru
Khamis : Jualan Lelong Barang-barang Terpakai
Jumaat : Jualan Lelong Barang-barang Terpakai

Isnin, 1 Oktober 2012

Program Selepas UPSR Tahun 6 : Tema Minggu 3 - Muzik dan Kebudayaan

Pada minggu ini, murid-murid telah mengikuti pelbagai aktiviti ceramah yang diadakan di Dewan Seri Perdana, SK LKTP Bukit Goh. Berikut perincian bagi minggu ini :-

Isnin : Senaman, ceramah bomba dan pameran bomba
Selasa : Ceramah Jenayah dan aktiviti muzik/seni kebudayaan
Rabu : Ceramah dari Unit Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan aktiviti muzik
Khamis : Ceramah Anti Dadah dan pameran Anti Dadah
Jumaat : Solat Hajat & Bacaan Yaasin, Ceramah Kesihatan dan Pameran Kesihatan

Semoga ilmu yang diperolehi dimanfaatkan.
Sekian untuk laporan kali ini, terima kasih.

Isnin, 24 September 2012

Program Selepas UPSR Tahun 6 : Tema Minggu ke-2 - Sukan & Seni

Bersesuaian dengan tema, aktiviti yang dirancangkan sepanjang minggu ini memang melibatkan acara di padang dan di dalam dewan. Aktiviti sepanjang minggu ini adalah seperti berikut :

a) Isnin - Permainan Bola Jaring dan Bola Sepak (Liga)
- Belajar Seni Anyaman Tikar
b) Selasa - Permainan Bola Jaring dan Bola Sepak (Liga)
- Seni mencanting Batik (6UM,6UKM), Mewarna (6UPM,6USM)
c) Rabu - Permainan Bola Jaring dan Bola Sepak (Separuh Akhir)
- Seni Mencanting Batik (6UPM, 6USM), Mewarna (6UM,6UKM)
d) Khamis - Permainan Bola Jaring dan Bola Sepak (Akhir)
- Menghasilkan Poster Anti Dadah
e) Jumaat - Solat Hajat, Bacaan Yaasin dan Tazkirah
- Ceramah Agama "Syurga dan Neraka"

Semua aktiviti sukan dimulakan sebaik sahaja selesai senaman di awal pagi. Guru-guru telah diagih tugas untuk memastikan aktiviti berjalan seperti yang dijadualkan. Banyak manfaat yang diperolehi oleh murid-murid tahun 6 walaupun selepas mereka tamat menduduki peperiksaan UPSR.

Sekian, terima kasih.

Jumaat, 21 September 2012

Program Seni Kebudayaan & Penutupan Bulan Kemerdekaan

Program yang dimulakan dengan bacaan Yaasin ini bertujuan menyemai semangat cintakan negara dan semangat patriotisme dikalangan murid-murid dan guru-guru. Disamping itu juga, melalui program ini, kita dapat mencungkil bakat murid melalui persembahan yang diadakan. Antara pengisian program ini ialah :

a) Pertandingan basikal cantik
b) Nyanyian lagu patriotik seperti Tanggal 31 dan Jalur Gemilang.
c) Persembahan koir
d) Persembahan Seni Kebudayaan
e) Persembahan Sajak dan Pantun
f) Persembahan Tarian Prasekolah
g) Penyampaian Hadiah.

Majlis turut dihadiri YDP PIBG, En. Mohd Bakri bin Abdul Majid. Program berlangsung dari jam 7:30 pagi sehinggalah jam 10:00 pagi di Dewan Seri Perdana.

Sekian, terima kasih.

Isnin, 17 September 2012

Program Selepas UPSR Tahun 6 : Tema Minggu 1 - Minggu Kerohanian

Pelbagai aktiviti telah dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang selepas tamatnya peperiksaan UPSR. Setiap minggu di letakkan dibawah satu tema diikuti aktiviti yang bersesuaian dengan tema. Berikut aktiviti sepanjang minggu ini :-

Isnin : Cuti sekolah sempena Sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada hari Ahad (16 September 2012)
Selasa : a)Taklimat ringkas mengenai aktiviti sepanjang selepas UPSR.
b)Taklimat dan panduan mengisi borang pendaftaran ke sekolah Menengah
Harian Biasa dan Sekolah Berasrama Penuh.
c)Pembahagian kumpulan kepada 14 kumpulan tetap.
Rabu : a)Aktiviti berkumpulan-menyiapkan nama kumpulan, logo dan sesi pembentangan.
b)Aktiviti kerohanian - Kelas Fardhu Ain diambil alih oleh Ustaz dan Ustazah
tahun 6
Khamis : Program Kem Bestari Solat
Jumaat : a) Solat Hajat, Bacaan Yaasin dan tazkirah
b) Mempelajari Solat Jenazah
Sabtu : Sekolah ganti - Program Penutupan Bulan Kemerdekaan

Semoga murid-murid beroleh banyak manfaat daripada program yang telah diatur.

Sekian untuk makluman, terima kasih.

Jumaat, 14 September 2012

Program Seni Budaya dan Jamuan Hari Raya 2012

Sekalung penghargaan khusus buat tetamu khas kita iaitu YB Dato' Abdul Manan bin Ismail DIMP, PKC Ahli Parlimen Paya Besar kerana sudi hadir memeriahkan majlis jamuan Hari Raya di SKBG ini. Di samping itu juga, ucapan jutaan terima kasih di atas sumbangan cek bernilai RM 50 000 kepada pihak sekolah melalui kerjasama PIBG. Seawal 7:30 pagi lagi, majlis bermula dengan taklimat program diikuti bacaan Yaasin dan tazkirah oleh Ustaz Aminuddin bin Jailani. Seterusnya, ucapan tuan Guru Besar sebelum acara berhenti rehat seketika. Semua murid berada di dalam Dewan Imtiaz bagi menyaksikan acara persembahan Seni Kebudayaan yang disajikan kepada semua tetamu yang hadir. Sekitar jam 10:30 pagi, ketibaan YB disambut meriah. Semua murid tahun 4, 5 dan 6 mula berkumpul di Dataran Ilmu bagi mendengar ucaptama dari YB Dato' Abdul Manan dan YDP PIBG, En. Bakri bin Abdul Majid.Setelah selesai majlis penyerahan cek, semua tetamu dan murid dijamu dengan pelbagai juadah Hari Raya termasuklah lemang, tapai, kuih raya dan pelbagai lagi. Selamat menjamu selera untuk semua dan Salam Lebaran buat semua tetamu yang hadir.




Sekian, terima kasih.

Selasa, 11 September 2012

Peperiksaan UPSR 2012

Masa yang ditunggu telah pun tiba. Bermula hari ini, seramai 144 calon UPSR SK LKTP Bukit Goh buat pertama kalinya akan menduduki peperiksaan dengan selesa di dalam Dewan Seri Perdana. Seawal jam 6:30 pagi ,semua murid tahun 6 telah berkumpul di Dataran Ilmuuntuk mengikuti sesi yang telah dirancang. Berbekalkan doa yang dibaca diawal pagi sebelum memasuki dewan, semua pihak mendoakan kejayaan akan menjadi milik calon UPSR SKBG. Selamat menduduki peperiksaan dan selamat menjawab semua soalan yang dikemukakan dengan baik. Terima kasih kepada pihak PIBG yang menaja makanan murid-murid sepanjang 3 hari peperiksaan berlangsung.
Sekian, terima kasih.

Jumaat, 7 September 2012

Majlis Titisan Ilmu Tahun 6

Setelah selesai program motivasi, program seterusnya ialah Majlis Titisan Ilmu. Program ini melibatkan semua guru yang telah mencurahkan ilmu seawal prasekolah sehinggalah murid-murid ini menduduki peperiksaan UPSR. Dimulakan dengan bacaan Akujanji Murid kepada Ibu Bapa dan guru-guru, diikuti ucapan wakil dari Ibu Bapa dan seterusnya ucapan Majlis Penutup oleh tuan Guru Besar. Majlis yang penuh syahdu ini, berakhir sekitar jam 1:00 petang.

Sekian, terima kasih.

Program Pecutan Akhir " The Power of Dreams "

Program ini terdiri daripada beberapa slot Motivasi iaitu :

a) Program Motivasi 1 dan 2 - Program Penentu Akhir Sasaran mendapat 5A UPSR
serta Kaedah Pembelajaran paling berkesan pada
hari- hari terakhir dan pada hari peperiksaan.

b) Program Motivasi 3 dan 4 - Rahsia Menjadi Pelajar Cemerlang serta Peranan
Ibu Bapa dan guru-guru dalam usaha membantu
pelajar-pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam
UPSR 2012.

Slot Motivasi ini dikendalikan oleh penceramah yang tidak asing lagi iaitu Dr. Shahabuddin Al-Ustaz Mun. Semua program ini dilaksanakan di Dewan Seri Perdana. Aktiviti yang turut disertai ibu bapa ini amat bermakna sekali bagi calon-calon UPSR.

Sekian, terima kasih.

Khamis, 6 September 2012

Majlis Solat Hajat Perdana Sempena UPSR

Solat Hajat Perdana kali ini diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah, Bukit Goh. Majlis yang dihadiri oleh sebahagian besarnya ialah ibu bapa tahun 6, guru-guru SKBG dan wakil-wakil PIBG ini menunjukkan komitmen yang diberikan oleh ibu bapa dalam mendoakan kejayaan agar sentiasa mengiringi anak mereka yang akan menduduki peperiksaan UPSR sedikit masa lagi. Solat hajat dan bacaan Yaasin memohon rahmat Yang Maha Esa agar dilimpahkan kepada calon-calon UPSR 2012 ini.

Sekian, terima kasih.

Isnin, 3 September 2012

Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah

Pada hari ini, telah diadakan aktiviti kibar Jalur Gemilang peringkat Sekolah sempena bulan Kemerdekaan dan Hari Kemerdekaan yang baru diraikan pada 31 Ogos baru-baru ini. Guru Besar membacakan perutusan sempena Hari Kemerdekaan di Dataran Ilmu. Selepas ucapan tuan Guru Besar, pasukan koir sekolah pula telah menyajikan persembahan yang menarik melalui nyanyian lagu patriotik yang dipimpin oleh Cikgu Hapif. Setelah selesai, murid-murid bersama guru menyanyikan lagu patriotik bersama semua murid sambil mengibarkan Jalur Gemilang yang dipegang oleh setiap murid dan guru. Semoga kita semua dapat menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.
Sekian dulu untuk laporan, terima kasih.

Isnin, 27 Ogos 2012

Klinik UPSR (BI) 2012

Program ini merupakan program yang dikendalikan dibawah PPD melibatkan guru-guru Bahasa Inggeris. Sasaran program ini adalah murid-murid Kelas 6 UM. Program yang julung kali diadakan 2 minggu sebelum menjelang UPSR diharapkan mendatangkan manfaat kepada murid-murid target kita. Antara guru yang terlibat ialah Pn. Wahida Rehman, Pn. Tan Mon Lee, Pn. Shanthini dan En. Muzalmi selaku GPK Pentadbiran dan juga guru BI. Ia dilaksanakan semasa waktu P n P dengan memfokuskan peningkatan penguasaan kemahiran Bahasa Inggeris.
Sekian, terima kasih.

Rabu, 15 Ogos 2012

Majlis Khatam Al-Quran Sempena Sambutan Ihya Ramadhan 1433H

Seawal jam 7:30 pagi, semua murid berkumpul di Dataran Ilmu untuk tujan merekod kehadiran murid. Kemudian, semua murid berarak ke Dewan Seri Perdana bagi menyempurnakan acara Majlis Khatam Al-Quran. Dimulakan dengan Ucapan Tuan Guru Besar, diikuti penyampaian cenderahati dan Sumbangan Duit Raya kepada semua murid SKBG.Setelah majlis selesai, P n P berlangsung seperti biasa. Objek tif majlis ini diadakan bertujuan untuk melahirkan murid yang peka dan bertanggungjawab terhadap bulan-bulan kebesaran Islam, melahirkan rasa cinta akan bulan Ramadhanyang penuh dengan keberkatan, menyuburkan perasaan untuk merebut kelebihan yang ditawarkan pada bulan ini dan menanamkan rasa cintakan Al-Quran serta menjadikan amalan membaca sepanjang hayat.
Sekian, terima kasih.

Selasa, 14 Ogos 2012

Majlis Berbuka Puasa Sempena Sambutan Ihya Ramadhan 1433H

Semua hadirin dan guru serta keluarga mula hadir ke sekolah sekitar jam 6:00 petang. Majlis berbuka puasa bermula sebaik sahaja masuknya waktu Maghrib. Semua hadirin yang datang menjamu selera di Kantin Sekolah menikmati juadah yang disediakan. Kemudian, diikuti dengan acara menunaikan Solah Maghrib, Solah Isyak dan Solat Tarawikh beramai-ramai di Dewan Solat JQAF. Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir mmeriahkan lagi suasana sambutan berbuka puasa beramai-ramai.
Sekian, terima kasih.

Isnin, 13 Ogos 2012

Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sekolah 2012

Pada pagi ini menyaksikan perhimpunan rasmi setiap hari Isnin lebih meriah kerana turut diadakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang. Aturcara majlis adalah seperti berikut :

Nyanyian Lagu Negaraku, Negeri Pahang & lagu SKBG
Bacaan ikrar
Ucapan Guru Bertugas Minggu Lepas
Ucapan Guru Bertugas Minggu Ini
Ucapan Aluan Pengerusi Majlis
Ucapan Tuan Guru Besar & Perasmian Jalur Gemilang
Persembahan Pasukan Koir Sekolah
Deklamasi Sajak
Nyanyian Lagu Patriotik
Laungan Kemerdekaan 7 kali oleh GB
Laungan Azan oleh Ustaz Najib
Bacaan Doa oleh Ustaz Aminuddin
Penyerahan Jalur Gemilang oleh murid kepada GB
Perarakan Jalur Gemilang oleh murid-murid Tahun 4

Murid-murid menyanyikan lagu-lagu patriotik dengan penuh bersemangat.
Majlis berakhir sekitar jam 9:00 paga, dan P n P diteruskan seperti biasa.
Sekian,terima kasih.

Jumaat, 10 Ogos 2012

Jemputan Mendengar Ceramah Palestin di SMKBG (Tahun 5)

Setelah selesai bacaan Yasin, semua murid- tahun 5 telah dijemput oleh pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh untuk menghadiri sesi Ceramah Palestin. Beberapa orang guru pengiring turut serta bersama murid-murid ke sekolah tersebut.
Sekian, terima kasih.

Selasa, 7 Ogos 2012

Perlaksanaan Jadual Anjal Tahun 6

Bermula minggu ini, guru-guru tahun 6 akan mula melaksanakan P n P di dalam kelas tahun 6 mengikut Jadual Anjal yang telah diatur oleh pihak pentadbir. Sistem Jadual Anjal ini bertujuan memberi ruang masa yang lebih kepada guru-guru yang mengajar subjek UPSR untuk P n P mereka. Waktu yang terlibat seperti matapelajaran KH, PSK, PSV dan subjek elektif lain. Jaual Anjal ini tamat pada minggu murid-murid tahun 6 menduduki peperiksaan UPSR. Moga guru-guru tahun 6 dapat memanfaatkan sepenuhnya masa anjal yang telah dijadualkan.
Sekian, terima kasih.

Peperiksaan PKSR 3 (Tahun 3,4,5 & 6) dan PBS (Tahun 1 & 2)

Bermula hari ini sehingga Khamis, semua murid tahun 3,4,5 dan 6 akan menduduki peperiksaan PKSR 3 yang akan menguji matapelajaran teras (BM, BI, Maths, Sains) dan Pendidikan Islam. Manakala murid-murid tahun 1 dan 2 pula akan menduduki penilaian band bagi setiap individu untuk semua matapelajaran. Semoga semua murid SKBG dapat menjawab soalan dengan baik dan cemerlang.
Sekian, terima kasih.

Jumaat, 3 Ogos 2012

Aktiviti Sempena Menyambut Bulan Kemerdekaan

Pada hari ini diadakan majlis ringkas sempena menyambut Bulan Kemerdekaan yang diraikan pada 31 Ogos pada setiap tahun. Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan. Antaranya semua murid tahun 1,2 dan 3 terlibat dengan acara mewarna yang diadakan di Dewan Seri Perdana dan dikendalikan oleh guru-guru yang mengajar tahun 1, 2 dan 3. Manakala murid-murid tahun 4, 5 dan 6 pula terlibat dengan aktiviti menyiapkan Jalur Gemilang. Mereka dikehendaki mewarnakan Jalur Gemilang di Dataran Ilmu dan aktiviti ini dikendalikan oleh guru-guru yang mengajar tahun 4, 5 dan 6. Aktiviti tamat pada jam 10:30 pagi dan selepas itu kelas berlangsung seperti biasa.
Sekian, terima kasih.






Penyerahan Sumbangan Duit Raya kepada murid-murid anak yatim

Terima kasih kepada YDP PIBG yang sanggup meluangkan masa untuk bersama-sama dalam majlis yang serba ringkas ini. Majlis ini bertujuan menyampaikan Sumbangan Duit Raya kepada murid-murid yatim SKBG.
Sekian, terima kasih.






Program Excel Group dan Penyerahan Anak Angkat Tahun 6

Program ini dikendalikan di bawah Unit Bimbingan dan Kaunseling. Pelancarannya diadakan pada hari Jumaat di kelas 6 UM manakala perlaksanaan kelasnya dimulakan pada sebelah petang Jumaat (3-5 petang) dan sebelah pagi hari Sabtu (8-10 pagi).
Program ini melibatkan 6 orang guru tahun 6 iaitu Pn. Zaiton, Pn. Kasmawati, Pn. Wahida Rehman, Pn. Aeliana, Pn. Normani dan En. Muzalmi. Seramai 44 orang murid terlibat iaitu semua murid 6 UM dan 1 orang dari kelas 6 UKM. Murid-murid ini merupakan murid sasaran untuk memperolehi 5A. Semoga murid-murid memanfaatkan sepenuhnya program yang disediakan ini. Terima kasih diucapkan kepada guru-guru yang memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan program ini.
Sekian, terima kasih.




Rabu, 1 Ogos 2012

Mesyuarat Pemilihan Prasekolah 2013

Pada hari Rabu bersamaan 1 Ogos 2012 telah diadakan mesyuarat pemilihan Prasekolah bagi tahun 2013 yang diadakan di Makmal Komputer. Mesyuarat ini dihadiri oleh Guru Besar, GPK Hem, guru-guru Pra, PPM (Pembantu Pengurusan Murid) dan beberapa orang guru lain sebagai AJK Pemilihan PraSekolah. Mesyuarat ini bertujuan membincangkan aspek-aspek berkaitan pemilihan murid-murid untuk sesi tahun 2013.
Sekian, terima kasih.




Selasa, 24 Julai 2012

Peperiksaan Percubaan UPSR 2012

Pada hari ini, seramai 145 orang calon UPSR 2012 akan diuji mindanya. Pada kali ini juga menyaksikan murid-murid tahun 6 pertama kalinya menduduki peperiksaan di dalam dewan. Peperiksaan percubaan yang dikendalikan adalah 95% mengikut standard prosedur UPSR yang sebenar. Diketuai oleh Ketua Pengawas bertauliah, En. Zulkifli bin Tawang diikuti oleh 8 orang guru-guru pengawas yang lain. Seawal pagi, sebelum memasuki Dewan, Ustaz Aminuddin telah mengetuai pembacaan doa bagi mengiringi murid-murid ke Dewan Seri Perdana. Semoga, dengan rahmat Yang Maha Esa seramai 145 calon UPSR ini akan dapat menjawab soalan yang dikemukakan dengan baik sekali. Sekian, terima kasih.

Isnin, 23 Julai 2012

Sambutan Ihya Ramadhan Peringkat Sekolah 1433H/2012M

Panitia Pendidikan Islam telah merencanakan pelbagai program sepanjang meraikan bulan yang penuh rahmat iaitu bulan Ramadhan (bermula 23/07/2012-15/08/2012).
Antara aktivitinya ialah:

1. Indahnya Pagi Ramahan
- Memperdengarkan Alunan Zikir
- Bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran
- Nasyid
2. Tadarus Al-Quran
3. Menghafaz Surah-surah Pilihan
4. Khatam Al-Qurann
5. Majlis Berbuka Puasa
6. Edaran Buletin
7. Tabung Infaq
8. Tazkirah Murid

Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan rahmat di sisi ALLAH S.w.t
Sekian, terima kasih.

Jumaat, 20 Julai 2012

Majlis Muafaqah & Hari Pelaporan Tahun 6

Seawal jam 7:30 pagi, semua murid dan guru-guru tahun 6 berkumpul di dewan bagi menghadiri Majlis Muafaqah dan sempena Hari Pelaporan. Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin diikuti dengan persembahan slideshow yang padat dengan informasi berkaitan analisa peperiksaan Pengesanan dan Pra Percubaan UPSR yang diadakan baru-baru ini. Kemudian, sedikit komentar berguna daripada Cikgu Mansor bin Deraman, selaku orang yang agak lama dalam menguruskan murid-murid UPSR berkaitan peperiksaan. Para ibu bapa yang hadir kelihatan amat berpuas hati dengan layanan guru-guru. Terima kasih juga kepada YDP PIBG yang sempat memberikan ucapan aluan kepada hadirin yang hadir. Diselangi dengan waktu rehat selama 30 minit, para jemputan menjamu selera.Selesai jamuan, sesi pelaporan bermula sehinggalah tamat sekitar jam 11:30 pagi. Sekian, terima kasih.


















Khamis, 19 Julai 2012

Majlis Penyerahan Dewan Seri Perdana

Pada hari Khamis, jam 11:00 pagi, majlis penyerahan Dewan Seri Perdana berlangsung dengan lancar. Majlis menyaksikan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia menandatangani dan melengkapi kepeluan semua dokumen-dokumen yang berkaitan dengan pihak kontraktor dan pihak sekolah. SK LKTP Bukit Goh amat bertuah kerana merupakan satu-satunya sekolah rendah yang memiliki Dewan Sekolah. Diharapkan agar semua pihak dapat memanfaatkan kegunaan dewan ke arah kebaikan. Sekian, terima kasih.





Rabu, 18 Julai 2012

Gotong Royong Sempena Majlis Penyerahan Dewan Sri Perdana

Pada hari ini, semua warga SKBG akan bersama-sama melaksanakan aktiviti gotong-royong membersihkan seluruh kawasan sekolah. Ia diadakan bersempena dengan majlis penyerahan Dewan Sri Perdana pada hari esok bersamaan Khamis 19/07/2012. Aktiviti ini diadakan bermula jam 11:00 pagi mengikut jadual tugas yang telah ditetapkan oleh GPK Pentadbiran. Aktiviti ini bertujuan meningkatkan lagi tahap kebersihan dan keceriaan di kawasan sekolah. Terima kasih ditujukan kepada semua warga SKBG termasuklah pekerja sekolah yang bertungkus lumus membantu menjayakan program gotong-royong ini. Sekian, terima kasih.

Program Bulan Kecergasan 2012

Bulan Julai ini telah dipilih sebagai Bulan Kecergasan Kementerian Pelajaran Malaysia dengan bertemakan " 1Malaysia 1Kecergasan". Di sepanjang bulan Julai, pihak sekolah telah melaksanakan pelbagai aktiviti kecergasan yang melibatkan permainan bola Jaring, sepak takraw, senamrobik dan sukaneka. Aktiviti seperti ini dapat meningkatkan semangat kesukanan dan rasa kekitaan di kalangan warga SKBG dan murid-murid khususnya. Di samping itu juga, program sebegini mampu mengeratkan hubungan sosial antara murid, guru dan warga sekolah. Sekian, terima kasih.

Isnin, 16 Julai 2012

Jamuan Makan Oleh Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011

Rasanya masih belum  terlambat untuk kita ucapkan tahniah kepada guru-guru yang telah disenaraikan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2011. Berkat usaha gigih serta sabar dalam menangani kerenah murid-murid akhirnya terbalas jua. Sesungguhnya yang lebih penting dalam mendidik ini adalah jiwa yang ikhlas. Sentiasa IKHLAS DALAM BERAMAL.. InsyaALLAH, Redha ALLAH akan sentiasa bersama kita. Semoga dimurahkan lagi rezeki dan dipanjangkan lagi umur untuk berbakti lagi kepada agama, bangsa dan negara. Senarai pernerima APC pada tahun 2011 adalah:

1. En. Azizuddin bin Osman
2. Pn. Aeliana bt Ahmad
3. Pn. Tan Mon Lee
4. Pn. Rohaidah bt Abdul Rahim
5. Pn. Siti Khadijah bt Zakaria
6. Pn. Haliatun Nisa bt Noor.

Akhir bicara, selamat menjamu selera kepada semua warga SKBG. Sekian, terima kasih.

Pemberian Kurma Sumbangan PIBG kepada Guru dan Staf SKBG

Setelah selesai perhimpunan rasmi pagi tadi, semua guru dan staf berkumpul di kantin bagi menghadiri sedikit majlis ringkas yang disempurnakan oleh YDP PIBG, En. Mohd Bakri bin Abdul Majid. Beliau sebagai YDP PIBG menyampaikan sumbangan buah kurma kepada semua guru dan staf SKBG yang telah banyak memberikan sumbangan  mengajar dan mendidik anak bangsa untuk menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Sumbangan ini juga bagi meraikan Bulan Ramadhan yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi. Semoga PIBG dilimpahi dengan rahmat  di atas segala usaha dan bantuan yang dihulurkan kepada pihak sekolah. Sekian, terima kasih.

Ahad, 15 Julai 2012

Ujian Saringan LINUS kali-2 2012

Setelah berakhir Program Buah Hatiku Sayang, sepanjang minggu ini akan diadakan Ujian Saringan LINUS kali ke-2 pada tahun ini iaitu melibatkan Saringan 2 Tahun 1 dan Saringan 8 Tahun 3. Ujian ini akan diduduki oleh 67 orang murid LINUS dengan harapan bilangannya akan berkurang pada masa akan datang. Syabas kepada Penyelaras LINUS, Pn. Norizan Saleh yang mengetuai program LINUS ini dari awal perlaksanaannya disertai pula kerjasama erat daripada pasukan guru-guru LINUS yang lain dalam memastikan matlamat SIFAR LINUS sekolah kita tercapai. Semoga usaha murni serta kesabaran kalian dalam mendidik anak bangsa akan menjadi nilai tambah kepada diri sendiri dan orang-orang disekeliling. Sekian, terima kasih.

Jumaat, 13 Julai 2012

Taklimat KSSR/PBS Tahun 1 & 2 oleh Pegawai PPD Kuantan

Bermula jam 8:00 pagi, ibu bapa mula hadir ke sekolah bagi mendengar sesi Taklimat yang disampaikan oleh Pegawai PPD Kuantan. Program ini merupakan suatu program membudayakan dan mempromosi KSSR/PBS di sekolah. Ini adalah seiring dengan kehendak kerajaan untuk memberi pendedahan kepada ibu bapa berkaitan agenda kerajaan Transformasi pendidikan. Sambutan daripada ibu bapa amat menggalakkan. Ramai ibu bapa yang hadir memberikan sokongan kepada program ini. KSSR merupakan penjenamaan semula sistem kurikulum yang sedia ada agar selaras dengan perkembangan arus perdana dalam Sistem Pendidikan di Malaysia.





Selasa, 10 Julai 2012

Senamrobik Serentak 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia




Seawal jam 6:30 pagi, aktiviti pendaftaran dimulakan. Para jemputan, ibu bapa/penjaga, guru-guru dan murid-murid kelihatan begitu gembira serta tidak sabar untuk memulakan aktiviti senamrobik mereka. Penglibatan ramai kaum ibu dalam aktiviti senamrobik sebegini dilihat amat sihat sekali.  Senamrobik pada kali ini diketuai oleh Cikgu Intan Ezura bersama pasukannya Guru Besar,Cikgu Azharuddin, Ustaz Najib, Pn. Siti Khadijah dan Cikgu Afiqah. Pelbagai gaya senamrobik yang dipertontonkan. Aktiviti senamrobik yang diadakan selama lebih kurang 35 minit turut dihadiri oleh AJK PIBG. Setelah selesai aktiviti senamrobik, acara diteruskan lagi dengan acara sukaneka mengikut tahun masing-masing sehingga waktu rehat. Selepas waktu rehat, proses pengajaran dan pembelajaran berlaku seperti biasa.

Isnin, 9 Julai 2012

Pelancaran Bulan Matematik 2012

Guru Besar telah merasmikan Bulan Matematik 2012 disertai dengan gimik pelancarannya melalui potongan riben yang dilakukan semasa sesi perhimpunan pagi tadi. Sepanjang bulan Matematik ini, pelbagai aktiviti telah direncanakan kepada murid-murid. Antaranya :

Tahun 1 : Gerak Asas Matematik (Celik Nombor)
Tahun 2 : Gerak Minda Matematik (Celik Asas Operasi)
Tahun 3 : Gerak Pantas Matematik (Kenal Lattice)
Tahun 4 : Gerak Maju Matematik (Blok Sifir)
Tahun 5 : Gerak Tepat Matematik (Blok Sifir)
Tahun 6 : Gerak Cemerlang Matematik (Pantas Jawab)

Disamping itu juga, diadakan program Gerak Sifir khusus untuk murid tahun 4, 5 dan 6. Ia dilaksanakan pada setiap perhimpunan pagi Khamis selama 5 minit di mana beberapa orang murid akan dipanggil untuk membacakan sifir dan diikuti oleh semua murid lain. Kemudian, beberapa orang murid pula akan disoal secara rawak. Murid yang dapat menjawab sifir dengan betul akan diberikan hadiah. Semoga murid-murid SKBG akan merebut peluang sepanjang bulan Matematik ini untuk menyertai pelbagai acara yang dipertandingkan. Tahniah dan syabas kepada Ketua Panitia Matematik, Pn. Sriyati dan ahli-ahli di bawahnya kerana berjaya merealisasikan Bulan Matematik ini.Sekian, terima kasih.

Khamis, 5 Julai 2012

Karnival Pra Sekolah Peringkat Zon 1

Guru-guru Prasekolah SK LKTP Bukit Goh telah menghantar 5 orang peserta untuk menyertai pertandingan Bijak Prasekolah (Kategori : Bahasa Melayu) yang bertempat di SK Panching. Alhamdulillah, sekolah kita telah muncul sebagai Naib Johan keseluruhan. Tahniah dan syabas kepada guru pra sekolah yang terlibat iaitu Pn. Intan Ezura bt Mohamad Rasit (Pra UM) dan Pn. Noretah bt Md Ali (Pra UKM) serta pembantu Pengurusan Murid (PPM) iaitu Pn. Norzita bt Daud dan Pn. Faridah bt Omar yang telah mendidik murid-murid prasekolah ini sehingga berjaya merangkul kedudukan Naib Johan. Peserta yang telah menyertai pertandingan ini ialah :

1. Nur Syaza Husna binti Mohd Rosdi (Pra UM)
2. Amir Luqman Hakim bin Rosedi (Pra UM)
3. Mohd Fahim Nazhan bin Mahamad Pazli (Pra UKM)
4. Farisya Najwa binti Mat Sophan Sufian (Pra UKM)
5. Nur Asmadhania Qistina bt Azizul (Pra UKM)

Tahnia adik-adik. Moga lebih berjaya lagi di masa akan datang. Sekian, terima kasih.

Selasa, 3 Julai 2012

Seminar Impak Tinggi 1 PPD Kuantan

Seramai 10 orang murid tahun enam telah dipilih untuk menghadiri seminar yang telah dijadualkan berlangsung selama 2 hari. Seminar ini diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang. Seramai 7 orang guru telah ditugaskan untuk mengiringi murid secara bergilir-gilir. Ucapan terima kasih ditujukan kepada YDP PIBG kita yang turut serta dalam seminar yang diadakan ini. Murid-murid yang mengikuti seminar ini ialah :

1. Muhammad Izzuddin bin Saiful Hisam
2. Nur Hidayah binti Abdul Samad
3. Muhammad Alief Amsyar bin Solahudin
4. Farah Wahida bt Khalid
5. Mohd Syauqi bin Mohd Shukry
6. Muhammad Afiq Ikmal bin Ahmad Tarmizi
7. Nor Azleen binti Arafin
8. Ainur Zulaikha bt Zulkipli
9. Muhammad Afzan bin Md Mahazan
10. Muhammad Amzar bin Ahmad

Semoga beroleh banyak manfaat daripada seminar yang diadakan ini. Sekian, terima kasih.

Isnin, 2 Julai 2012

Pelancaran Bulan Bahasa Melayu

Panitia Bahasa Melayu telah memilih bulan Julai sebagai bulan Bahasa Melayu. Pelbagai aktiviti ditawarkan kepada semua murid SKBG. Murid-murid hendaklah merebut peluang yang ada bagi menyertai semua pertandingan yang disediakan kerana ganjaran hadiah yang pasti tidak mengecewakan. Antara aktiviti yang telah disusun ialah :

1. Tahun 1,2 dan 3 : PertandinganTulisan Cantik dan Ejaan.
2. Tahun 4, 5 dan 6 : Pertandingan Menulis Karangan, Teka Silangkata dan Ejaan.

Semoga murid SKBG memanfaatkan peluang yang ada. Sekian, terima kasih.

Jumaat, 29 Jun 2012

Hari Pelaporan Tahun 3, 4dan 5.

Bermula jam 9:30 pagi, para ibu bapa mula memasuki kawasan sekolah untuk berjumpa dengan Guru Kelas masing-masing bagi menandatangani Buku Laporan bagi mengetahui keputusan peperiksaan PKSR 2 anak-anak mereka. Para ibu bapa yang hadir memberikan kerjasama yang baik dalam membincangkan permasalahan anak-anak mereka. Setelah selesai pertemuan di kelas masing-masing, mereka dibenarkan membawa pulang anak mereka. Aktiviti tamat jam 12:00 tengahari.

Rabu, 27 Jun 2012

Ujian Pra Percubaan UPSR Tahun 6 2012

Semua  calon UPSR akan menduduki peperiksaan Pra Percubaan selama 3 hari berturut-turut mulai hari ini dan berakhir pada hari Jumaat. Pihak sekolah mendoakan kepada 146 calon UPSR 2012 ini agar dapat menjawab soalan Pra Percubaan dengan jayanya. Semoga segala tunjuk ajar yang telah diberikan oleh guru dapat diaplikasikan semasa peperiksaan kali ini. Sesungguhnya, nasib seseorang itu tidak akan berubah melainkan dirinya sendiri yang inginkan perubahan itu. Berubahlah kearah kebaikan kerana itulah yang sepatutnya.Sekian.

Ahad, 24 Jun 2012

Kejohanan Sukan Tahunan Kali ke-25

Masa yang ditunggu telah pun tiba. Pada hari ini 4 buah rumah sukan akan berentap habis-habisan untuk membuktikan rumah sukan yang manakah layak bergelar johan pada tahun ini dan membawa balik piala pusingan yang baru. Kejohanan Sukan pada kali ini telah dirasmikan oleh YDP PIBG SK LKTP Bukit Goh iaitu En. Mohd. Bakri bin Abdul Majid (AAP, PKC, PJK). Cuaca yang sangat baik melancarkan lagi perjalanan sukan pada hari ini. Acara sukan dimulakan seawal jam 8:00 pagi iaitu acara balapan 60m, 80m dan 100m dari setiap kategori dan kemudian berhenti seketika bagi memberi laluan kepada aktiviti perasmian dan perbarisan sekitar jam 9:00 pagi. Menyaksikan acara perbarisan, mengingatkan saya kepada zaman persekolahan saya dahulu. Meriahnya bukan main lagi. Seterusnya acara disambung sehinggalah berakhir pada jam 12:30 tengah hari. Keputusan penuh adalah seperti berikut :

      Keputusan Perbarisan  
      Johan : KUNING (37 mata)
      Naib Johan : MERAH (34 mata)
      Ke-Tiga : BIRU (29 mata)
      Ke-Empat : HIJAU (28 mata)

      Keputusan Keseluruhan
      Johan : KUNING (179 mata)
      Naib Johan : HIJAU (175 mata)
      Ke-Tiga : BIRU (155 mata)
      Ke-Empat : MERAH (147 mata)

OLAHRAGAWAN : MOHD ARIF AIMAN (BIRU)
OLAHRAGAWATI : FARAH WAHIDA (HIJAU)

Tahniah dan Syabas kepada semua pemenang. Yang tidak berjaya, tanamkan azam dan tekad tahun depan pastikan berjaya. Sekian, terima kasih.


Sabtu, 23 Jun 2012

Majlis Solat Hajat Sempena Sukan Tahunan SKBG

Alhamdulillah, majlis Solat hajat berjaya disempurnakan pada hari Sabtu di sebelah malam sebelum menjelangnya Sukan Tahunan pada eso hari. Solat Hajat ini diadakan bersempena dengan Sukan Tahunan Sekolah. Semoga diberkati dan dipermudahkan dalam segala urusan kita seharian. Setelah selesai solat, diadakan sedikit majlis barbeku yang dijayakan oleh pihak sekolah. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang menghulurkan sumbangan sehingga aktiviti barbeku ini berjaya direalisasikan. Majlis sebegini diharapkan agar dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara pihak sekolah dan PIBG terutamanya. Kamping panggang yang dihidangkan bersama pelbagai juadah lain sudah tentunya akan menjadi ingatan semua yang hadir. Sekian, terima kasih.

Rabu, 20 Jun 2012

Pra Sukan SKBG

Setelah selesai menjalankan aktiviti sukantara, aktiviti sukan sempena kejohanan sukan pada Ahad ini diteruskan lagi dengan aktiviti pra Sukan. Pra Sukan diadakan bertujuan menyelesaikan beberapa acara balapan dan juga sukaneka sebelum pada hari sukan kerana terlalu banyak acara yang akan dipertandingkan. Aktiviti ini telah dilaksanakan dengan jayanya selama 2 hari berturut-turut bermula hari Rabu di sebelah petangnya dan pada hari Khamis di sebelah pagi. Syabas kepada guru-guru yang memberikan komitmen sepanjang aktiviti pra sukan ini berlangsung. Terdapat 24 acara padang dan 8 acara sukaneka telah berjaya disempunakan melibatkan semua kategori iaitu A,B, C dan D. Keputusan markah mengikut rumah setakat pra sukan adalah seperti berikut :

            KUNING : 110 MARKAH
            BIRU : 101 MARKAH
            HIJAU : 95 MARKAH
            MERAH : 90 MARKAH

Inilah keputusan setelah pra sukan selesai, walaubagaimanapun keputusan keseluruhan akan ditentukan pada kejohanan sukan yang sebenar hujung minggu ini. Sekian dahulu untuk catatan kali ini. Terima kasih.

Isnin, 18 Jun 2012

Sukantara SKBG

Semua murid tahun 4, 5 dan 6 telah melibatkan diri secara aktif di dalam aktiviti Sukantara yang diadakan pada hari Isnin (18/06/2012) jam 3:30 petang berakhir 5:30 petang. Program Sukantara ini terdiri daripada 3 acara iaitu Lontar Peluru, Lompat Jauh dan larian 100m. Kesemua acara ini wajib disertai oleh kesemua murid tahap 2 dari ke-empat-empat buah rumah sukan iaitu Saidina Umar (Merah), Saidina Uthman (Hijau), Saidina Ali (Kuning) dan Saidina Abu Bakar (Biru). Tahniah kepada semua guru SKBG yang memberikan kerjasama yang jitu sehinggakan aktiviti yang dirancang berlangsung selama 2 hari mampu diselesaikan dalam masa sehari sahaja. Semangat kesukanan yang sebegini kita harap dapat diteruskan pada masa-masa akan datang. Berikut  dipaparkan keputusan akhir Sukantara SKBG 2012 :
         
              MERAH : 394 MATA (JOHAN)
              BIRU & HIJAU : 361 MATA (NAIB JOHAN BERSAMA)
              KUNING : 340 MATA (KETIGA)

Tak sabar rasanya untuk menantikan temasya kejohanan sukan tahunan yang akan menyusul tiba pada hujung minggu ini. Sekian, majulah sukan untuk SKBG.

Isnin, 11 Jun 2012

Kem Subjek UPSR Zon Kuantan Fasa Pertama Anjuran FELDA

Seramai 8 orang murid tahun 6 telah terpilih untuk mengikuti program Kem Subjek UPSR yang dianjurkan oleh FELDA. Kem ini diadakan selama 2 hari berakhir 12/06/2012. Program ini sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR 2012. Guru yang mengiringi program ini ialah En. Mohamad Zamri bin Imail merangkap penyelaras STF Sekolah. Kem ini diadakan di Felda Lepar Hilir 3. Peserta yang mengikuti Kem Subjek UPSR tersebut ialah :

1. Muhammad Afiq Ikmal Ahmad Tarmizi.
2. Nur Hidayah bt Abdul Samad
3. Nor Azleen bt Arafin
4. Muhammad Alief Amsyar bin Solahudin
5. Mohd Syauqi bin Mohd Syukry
6. Muhammad Izzuddin bin Saiful Hisam
7. Farah Wahida bt Khalid
8. Ainur Zulaikha bt Zulkipli

Semoga murid-murid ini boleh memanfaatkan segala ilmu dan teknik yang diperolehi dari kem ini. Sekian, terima kasih.

Selasa, 29 Mei 2012

Kelas Tambahan Tahun 6 Semasa Cuti Sekolah

Cuti persekolahan selama 2 minggu telah pun bermula. Ucapan tahniah ingin disampaikan khusus kepada murid-murid tahun 6 yang dapat hadir ke sekolah bagi mengikuti kelas tambahan yang telah dijadualkan berlangsung selama 4 hari bermula 26/05/2012 (Sabtu) sehingga 29/05/2012 (Selasa) semasa cuti persekolahan baru bermula. Diharapkan agar murid-murid tahun 6 memanfaatkan sepenuhnya sesi pembelajaran yang berlangsung. Kelas tambahan ini melibatkan 4 subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Terima kasih juga di atas kepercayaan dan sokongan daripada pihak ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah semasa cuti.
Sekian, terima kasih.

Sabtu, 26 Mei 2012

Kelas Tambahan LINUS Semasa Cuti Sekolah

Semasa cuti persekolahan baru-baru ini, pihak sekolah juga telah mengadakan Kelas Tambahan khusus kepada murid-murid tahun 1, 2 dan 3 yang tidak melepasi saringan LINUS di mana ujian saringan ini telah diadakan pada bulan Mac yang lalu. LINUS adalah singkatan bagi Literasi dan Numerasi. Seramai 63 orang murid tahun 1 yang terlibat, 3 orang murid tahun 2 dan 4 orang murid tahun 3. Jumlah kesemuanya adalah 70 orang. Kelas tambahan ini dijayakan oleh semua guru SKBG yang tidak terlibat dengan kelas Tambahan tahun 6. Ia diadakan serentak dengan Kelas tambahan tahun 6 iaitu bermula 26/05/2012 (Sabtu) dan berakhir pada 29/05/2012 (Selasa). Semoga dengan sokongan ibu bapa dapat memberi semangat kepada guru-guru SKBG untuk terus mencurah ilmu kepada anak-anak didik mereka. Sekian.

Ahad, 20 Mei 2012

Skim Tuisyen PIBG (STP)




Kelas tuisyen ini melibatkan murid-murid tahun 6 UKM, 6 UPM dan 6 USM. Kelas ini akan dilaksanakan bermula 21/05/2012 sehingga bulan September sebelum murid-murid menduduki peperiksaan UPSR sebenar. Program ini adalah inisiatif PIBG bagi membantu murid-murid yang tidak terlibat dengan Skim Tuisyen Felda (STF). Kelas akan dilaksanakan pada sebelah malam, walaubagaimanapun tertakluk kepada sebarang pindaan waktu oleh guru yang mengajar. Besarlah harapan PIBG agar STP ini dapat membantu menyumbang ke arah kecemerlangan murid di dalam UPSR 2012 nanti. Sekian, terima kasih.

Khamis, 17 Mei 2012

Solat Hajat Sempena Hari Guru






Majlis Solat Hajat ini diadakan di blok baru iaitu di USIM dan UIA. Terima kasih kepada semua tetamu yang hadir. Turut dialu-alukan AJK PIBG yang turut serta tanpa jemu menyokong semua aktiviti yang telah direncanakan pihak sekolah. Semoga majlis kita pada malam ini mendapat keberkatan dari ALLAH yang Maha Esa. Sesungguhnya makanan rohani seperti ini akan menjadi benteng kepada segala permasalahan yang wujud pada hari ini. Semoga majlis seperti ini dapat diadakan lebih kerap lagi pada masa akan datang. Sekian, terima kasih.

Rabu, 16 Mei 2012

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah






Tema Hari Guru pada tahun ini ialah "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Sambutan Hari Guru pada tahun ini disambut dengan meriah sekali. Pelbagai aktiviti guru dan juga murid turut dipersembahkan sebagai tatapan para hadirin yang hadir. Terima kasih diucapkan kepada AJK PIBG yang turut hadir memberikan sokongan sepanjang majlis ini diadakan. Jutaan terima kasih kepada YDP yang memberikan sumbangan banner kepada pihak sekolah. Diharapkan agar majlis sebegini dapat menaikkan lagi semangat guru-guru untuk bergelar seorang pendidik

Catatan Popular